Apr 19, 2026 - FASHarapan Selangor FC untuk ke perlawanan akhir saingan Piala Malaysia tidak kesampaian selepas tewas tipis 1-0 kepada Kuching City FC dalam aksi separuh akhir kedua di Stadium Negeri, Kuching, sekali gus menyaksikan Kuching City FC mara ke perlawanan akhir dengan agregat 2-1 selepas keputusan 1-1 dicatatkan pada perlawanan pertama.
Meskipun beraksi tanpa khidmat penyerang, Chrigor Moraes dan ketua jurulatih, Kim Pan-gon atas pergantungan kad kuning, Gergasi Merah beraksi dengan penuh bersemangat dari awal permainan. Kuching City mengambil kesempatan dengan jaringan tunggal Petrus Shitembi pada minit ke-31 menjadi pemisah dalam perlawanan. Ibarat jatuh ditimpa tangga, cabaran skuad Merah Kuning tampak semakin sukar pada separuh masa kedua apabila pemain pertahanan, Safuwan Baharudin dan pemain tengah, Mukhairi Ajmal dilayangkan kad merah dalam tempoh singkat, memaksa pasukan beraksi dengan sembilan pemain. Walaupun melakukan beberapa pertukaran untuk mengubah keadaan, pasukan tuan rumah berjaya mengekalkan keputusan 1-0 sehingga wisel penamat.
Penolong ketua jurulatih, Lee Soon-seok, memohon maaf kepada para penyokong atas keputusan yang mengecewakan, tetapi beliau memuji komitmen para pemain yang menunjukkan karakter tidak berputus asa.
“Keputusan ini amat mengecewakan, dan bagi pihak ketua jurulatih, saya ingin memohon maaf kepada semua penyokong yang hadir serta mereka yang terus menyokong perjalanan pasukan ini. Walaupun begitu, saya tetap berbangga dengan usaha dan komitmen para pemain yang telah menunjukkan karakter yang kuat serta tidak pernah berputus asa sehingga wisel penamat,” jelas beliau
Minggu ini, Selangor FC akan bertandang ke Kelantan bagi perlawanan ke-23 Liga Super 20205/26 menentang Kelantan Red Warriors FC di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu pada 24 April, jam 9 malam.
Pihak pengurusan Selangor FC mengucapkan ribuan terima kasih kepada para penyokong yang telah terbang ke Sarawak untuk menyokong pasukan semalam.
Demi Kebanggaan!
Kesebelasan Utama: Kalamullah Al-Hafiz, Quentin Cheng, Nooa Laine, Faisal Halim ©, Noor Al-Rawabdeh, Mukhairi Ajmal, Alvin Fortes, Zikri Khalili, Safuwan Baharudin, Mamadou Diarra & Vitor Pernambuco.
Pertukaran: 54’ Richmond Ankrah > Vitor Pernambuco, 66’ Kim Ji-ho > Nooa Laine, 78’ Mohammad Abualnadi > Quentin Cheng, 78’ Harith Haiqal > Alvin Fortes & 78’ Syahir Bashah > Noor Al Rawabdeh.